Etika Pemancing Rekreasi

1.    BERKONGSI ILMU PENGETAHUAN

Membantu pemancing lain menjadi pemancing yang lebih baik akan memberikan keseronokan yang berganda kepada semua orang. Semakin ramai orang tahu tentang sesuatu ilmu itu, semakin meningkatlah kefahaman tentang sesuatu perkara.

 

2.   TIDAK MELEPASKAN SESUATU SPESIES IKAN KE HABITAT YANG LAIN

Pastikan pemancing perikanan rekreasi tidak melepaskan suatu spesies ikan ke habitat yang lain. Tindakan ini boleh menyebabkan keseimbangan ekosistem di kawasan tersebut terganggu.

 

3.   AMALKAN PEMILIHAN TANGKAPAN

Amalkan pemilihan saiz dan spesies ikan dalam aktiviti perikanan rekreasi. Amalkan etika "catch and release" bagi saiz dan spesies ikan tertentu. Spesies ikan yang diancam kepupusan perlu dilepaskan.

 

4.    UTAMAKAN KESELAMATAN

Sentiasa mengutamakan keselamatan dalam menjalankan aktiviti perikanan rekreasi. Sentiasa memakai jaket keselamatan dan pakai pakaian yang sesuai untuk menjalankan aktiviti memancing.

 

5.     SENTIASA PATUHI PERATURAN

Mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan semasa memancing. Jangan memancing di kawasan larangan seperti di perairan Taman Laut. Patuhi peraturan dalam mengendalikan kenderaan air seperti bot, kayak dan lain-lain.

 

6.     HORMATI PENGGUNA LAIN

Sentiasa menghormati pengguna lain sama ada pemancing, nelayan, pelancong atau lain-lain pengguna dengan tidak berbuat bising dan tidak mengganggu kawasan tangkapan. Perlu diingatkan bahawa kawasan tangkapan harus dikongsi bersama. Selain itu, perlu diingatkan juga kawasan tangkapan bukan sahaja digunakan untuk aktiviti perikanan rekreasi, ia juga digunakan untuk aktiviti nelayan, pelancongan dan lain-lain aktiviti ekonomi.

 

7.     MEMELIHARA ALAM SEKITAR

Jangan mencemarkan laut, sungai dan kawasan memancing. Tali pancing, umpan dan peralatan memancing yang tidak lagi digunakan perlu dilupuskan secara beretika. Sampah yang berpunca daripada peralatan menangkap ikan boleh merosakkan ekosistem dan mengancam hidupan akuatik. Sampah yang dihasilkan semasa menjalankan aktiviti perikanan rekreasi hendaklah dibawa balik ke darat atau dibuang ke tempat yang disediakan. Amalan "recycle" perlu diterapkan dalam menjalankan aktiviti ini.

 

8.     MENYOKONG USAHA KONSERVASI

Pemancing perikanan rekreasi perlu memberi sokongan dalam usaha konservasi yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan atau swasta. Saban tahun sumber perikanan negara mengalami kemerosotan, melalui usaha konservasi sumber ini dapat dipelihara untuk generasi akan datang.

 

9.    MENGGUNAKAN KEMUDAHAN AWAM DENGAN BAIK

Menggunakan kemudahan awam seperti jeti, boya penambat bot dan lain-lain kemudahan dengan baik dan tidak melakukan vandalism supaya pengguna lain dapat menggunakan kemudahan yang disediakan.

 

10.    MENIKMATI AKTIVITI PERIKANAN REKREASI

Harus diingat perikanan rekreasi bukan sekadar bertujuan untuk menangkap ikan sahaja. Sentiasa menikmati keindahan persekitaran, persahabatan dan cabaran memancing adalah lebih penting sebagai pemancing perikanan rekreasi.